Rasuah RM150 punya pasal
BEKAS penjaga stor warga Sri Lanka dijatuhkan hukuman penjara
sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini selepas
mengaku bersalah memberi rasuah kepada anggota polis, Disember tahun
lalu.
Tertuduh Ummaheswaran Umaprasanth,22, yang pernah bekerja di syarikat
tekstil di ibu negara membuat pengakuan itu selepas pertuduhan
dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Tamil di depan Hakim Dazuki Ali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi suapan wang tunai berjumlah
RM150 kepada anggota polis, Koperal Md Nor Azman Hujut yang bertugas di
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong sebagai dorongan tidak mengenakan
tindakan ke atasnya kerana memandu van tanpa lesen memandu iaitu
kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dia yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi
Pelarian (UNCHR) didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Kompleks
Mahkamah Bentong kira-kira jam 3 pagi, 22 Disember tahun lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta
yang sama.
Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan
denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana
lebih tinggi.
Sementara itu, tertuduh dalam rayuannya meminta hukuman dikenakan
yang akan dijatuhkan kepadanya diringankan kerana tidak memahami
undang-undang di Malaysia serta sudah tidak bekerja lagi.
Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Kamariah Seman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Post a Comment